Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Friday, March 5, 2010

Renungkan Kelebihan Jumaat


HARI Jumaat adalah penghulu segala hari pada setiap minggu. Hari Jumaat juga hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud:

"Apabila diseru untuk bersembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah serta tinggalkan jual beli. Inilah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui". (Surah Jumaah: Ayat 9)

Dalam ayat itu, Allah melarang manusia bekerja dan berusaha untuk kepentingan dunia sebaik ia mendengar seruan azan solat Jumaat. Larangan ini menggambarkan bahawa menunaikan fardu Jumaat penting dan wajib dikerjakan.

Dalam hadis lain Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar di sisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Di dalamnya pula ada lima kelebihan iaitu:

1. Allah menjadikan Nabi Adam a.s.
2. Allah menurunkan Nabi Adam a.s ke bumi.
3. Allah mematikan Nabi Adam a.s.
4. Terdapat satu saat yang mustajab dan sesiapa yang berdoa pada saat itu nescaya Allah mengizinkannya   selama ia tidak meminta-minta yang haram.
5. Terjadinya hari kiamat. (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Ahmad)

Ketinggian kedudukan hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain dinyatakan Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud:

"Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Jumaat". (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Menyedari hakikat ini, pada hari Jumaat kita disunatkan pergi ke masjid awal, sekurang-kurangnya sebelum tergelincir mata hari. Ini kerana pada setiap hari Jumaat, Allah mengutus malaikat berdiri di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang masuk. Apabila khatib naik ke mimbar, berhentilah mereka.

Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu sembahyang telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya.

Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendah diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk ke saf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang.

Apabila masuk masjid, hendaklah kita sembahyang dua rakaat Tahayattul Masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah. Sebaik-baiknya hendaklah ia bersembahyang di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia bersembahyang.

Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah memasang telinga untuk mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah kita orang yang ditujukan segala nasihat dan kata bicara imam tadi.

Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah. Larangan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang berkata kepada temannya sedangkan imam masih berkhutbah: Dengarlah! Maka dia telah lalai, dan barang siapa yang lalai pada waktu imam sedang berkhutbah maka tiada Jumaat baginya." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Ini menunjukkan kita tidak dibenarkan melarang orang yang sedang bercakap ketika khatib berkhutbah dengan mengeluarkan suara. Untuk mendiamkan orang yang sedang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah, harus dilakukan dengan isyarat atau dengan melempar batu.

Inilah antara perkara yang dituntut dan disunatkan ke atas jemaah pada hari Jumaat. Namun sebahagian besar kita belum menghayati perintah memakmurkan masjid ini.

Ketika muazin melaungkan azan, masih ramai yang melepak dan berbual kosong di kaki lima atau di sekitar kawasan masjid. Semangat 'marilah menuju kemenangan' yang dilaungkan seolah-olah tidak meresap ke sanubari jemaah.

Ketika khatib mula membaca khutbah, ramai yang bercakap walau pun sebelum ini telah diingatkan bahawa perbuatan bercakap sewaktu khatib membaca khutbah adalah perbuatan lagha (sia-sia) dan mengurangkan pahala Jumaat.

Sewaktu khatib membaca khutbah pula, ramai menundukkan kepala kerana mengantuk dan sebahagiannya tertidur. Siapakah yang bersalah dalam perkara ini? Adakah khutbah yang dibaca itu membosankan ataupun memang kita tidak berminat dengan nasihat yang disampaikan.

Yang nyata, sembahyang Jumaat hari ini tidak lebih satu ritual zaman berzaman masyarakat Melayu-Islam, bukan kewajipan. Apa yang berlaku ini ternyata menyedihkan dan seharusnya kita membetulkan kelemahan itu.

Sebaik-baiknya, perhimpunan seminggu sekali ini kita jadikan ruang untuk merenung kembali semangat perpaduan umat yang semakin terhakis dilanda arus kehidupan yang semakin hilang nilai kemanusiaan.

Selesai sahaja Jumaat, jemaah berebut-rebut keluar masjid, seolah-olah ia penjara. Malah ada yang merungut khutbah terlalu panjang jika ia mengambil masa 20 atau 30 minit.

Kekuatan umat Islam terletak di atas keteguhan kita menghayati Islam. Jika kita tidak mengambil berat amal ibadat yang asas ini, selama itulah kita akan rugi. Setiap detik hari Jumaat perlu dipenuhi untuk meningkatkan amalan soleh sebanyak mungkin, berbanding hari lain.

 Sumber: Hashim Ahmad

Friday, February 26, 2010

Maulidur Rasul & Rabiul Awal

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Baginda adalah Nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Pengertian Rabiul Awal
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

  1. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  2. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
  3. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
  4. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
  5. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
  6. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
  7. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
  8. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...