Friday, March 5, 2010

Renungkan Kelebihan Jumaat


HARI Jumaat adalah penghulu segala hari pada setiap minggu. Hari Jumaat juga hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud:

"Apabila diseru untuk bersembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah serta tinggalkan jual beli. Inilah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui". (Surah Jumaah: Ayat 9)

Dalam ayat itu, Allah melarang manusia bekerja dan berusaha untuk kepentingan dunia sebaik ia mendengar seruan azan solat Jumaat. Larangan ini menggambarkan bahawa menunaikan fardu Jumaat penting dan wajib dikerjakan.

Dalam hadis lain Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar di sisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Di dalamnya pula ada lima kelebihan iaitu:

1. Allah menjadikan Nabi Adam a.s.
2. Allah menurunkan Nabi Adam a.s ke bumi.
3. Allah mematikan Nabi Adam a.s.
4. Terdapat satu saat yang mustajab dan sesiapa yang berdoa pada saat itu nescaya Allah mengizinkannya   selama ia tidak meminta-minta yang haram.
5. Terjadinya hari kiamat. (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Ahmad)

Ketinggian kedudukan hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain dinyatakan Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud:

"Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Jumaat". (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Menyedari hakikat ini, pada hari Jumaat kita disunatkan pergi ke masjid awal, sekurang-kurangnya sebelum tergelincir mata hari. Ini kerana pada setiap hari Jumaat, Allah mengutus malaikat berdiri di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang masuk. Apabila khatib naik ke mimbar, berhentilah mereka.

Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu sembahyang telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya.

Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendah diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk ke saf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang.

Apabila masuk masjid, hendaklah kita sembahyang dua rakaat Tahayattul Masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah. Sebaik-baiknya hendaklah ia bersembahyang di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia bersembahyang.

Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah memasang telinga untuk mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah kita orang yang ditujukan segala nasihat dan kata bicara imam tadi.

Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah. Larangan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang berkata kepada temannya sedangkan imam masih berkhutbah: Dengarlah! Maka dia telah lalai, dan barang siapa yang lalai pada waktu imam sedang berkhutbah maka tiada Jumaat baginya." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Ini menunjukkan kita tidak dibenarkan melarang orang yang sedang bercakap ketika khatib berkhutbah dengan mengeluarkan suara. Untuk mendiamkan orang yang sedang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah, harus dilakukan dengan isyarat atau dengan melempar batu.

Inilah antara perkara yang dituntut dan disunatkan ke atas jemaah pada hari Jumaat. Namun sebahagian besar kita belum menghayati perintah memakmurkan masjid ini.

Ketika muazin melaungkan azan, masih ramai yang melepak dan berbual kosong di kaki lima atau di sekitar kawasan masjid. Semangat 'marilah menuju kemenangan' yang dilaungkan seolah-olah tidak meresap ke sanubari jemaah.

Ketika khatib mula membaca khutbah, ramai yang bercakap walau pun sebelum ini telah diingatkan bahawa perbuatan bercakap sewaktu khatib membaca khutbah adalah perbuatan lagha (sia-sia) dan mengurangkan pahala Jumaat.

Sewaktu khatib membaca khutbah pula, ramai menundukkan kepala kerana mengantuk dan sebahagiannya tertidur. Siapakah yang bersalah dalam perkara ini? Adakah khutbah yang dibaca itu membosankan ataupun memang kita tidak berminat dengan nasihat yang disampaikan.

Yang nyata, sembahyang Jumaat hari ini tidak lebih satu ritual zaman berzaman masyarakat Melayu-Islam, bukan kewajipan. Apa yang berlaku ini ternyata menyedihkan dan seharusnya kita membetulkan kelemahan itu.

Sebaik-baiknya, perhimpunan seminggu sekali ini kita jadikan ruang untuk merenung kembali semangat perpaduan umat yang semakin terhakis dilanda arus kehidupan yang semakin hilang nilai kemanusiaan.

Selesai sahaja Jumaat, jemaah berebut-rebut keluar masjid, seolah-olah ia penjara. Malah ada yang merungut khutbah terlalu panjang jika ia mengambil masa 20 atau 30 minit.

Kekuatan umat Islam terletak di atas keteguhan kita menghayati Islam. Jika kita tidak mengambil berat amal ibadat yang asas ini, selama itulah kita akan rugi. Setiap detik hari Jumaat perlu dipenuhi untuk meningkatkan amalan soleh sebanyak mungkin, berbanding hari lain.

 Sumber: Hashim Ahmad

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...